Pemain sayap naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, enggan menjadikan cuaca sejuk sebagai penghalangnya ketika menghadapi Vietnam dalam perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 yang menjadi misi wajib menang Harimau Malaya untuk merangkul kejuaraan.

Cuaca sejuk menyelubungi skuad kebangsaan menjelang pertemuan kedua menentang tuan rumah yang juga merupakan juara 2008 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, malam esok

Ia susulan bandar raya Hanoi kini dilanda cuaca sejuk sehingga mencecah 13 darjah Celsius di sebelah malam.

Berdasarkan sesi latihan semalam, barisan pemain negara tampak bergelut untuk menyesuaikan diri dengan situasi itu.

"Ya boh... cuaca di sini sejuk. kami juga boleh menyesuaikan diri.

"Dalam aksi cuaca sejuk sebegini, kami akan kurang berasa letih berbanding bermain dalam cuaca panas.

"Oleh itu, kami berpeluang untuk meningkatkan permainan.

"Saya percaya ia bukan alasan untuk kami tidak menampilkan aksi yang baik," katanya.

Sumareh akan kembali membentuk gandingan bersama Syahmi Safari di bahagian kanan selepas rakan sepasukannya itu kini bebas daripada penggantungan perlawanan.

Ketiadaan Syahmi dalam aksi final pertama tampak menggugat Sumareh yang kurang menyerlah ketika bergandingan dengan Amirul Azhan Aznan.

Lantaran itu, dia bertekad untuk memanfaatkan kehadiran Syahmi dengan menyerlahkan aksi mantap bagi misi merobek gawang Vietnam.

"Kami tiba di sini dengan satu misi, iaitu untuk mencapai kemenangan.

"Vietnam mempunyai kelebihan besar, jadi kami tiada pilihan melainkan menghasilkan kemenangan.

"Apa pun boleh terjadi," katanya lagi.