“Catatan hebat Vietnam pasti akan musnah jua.”

Itu pendapat ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, yang tidak gentar dengan rekod tanpa kalah dua tahun Vietnam di pentas antarabangsa sambil mengingatkan tiada pasukan mampu kebal selama-lamanya.


Vietnam telah melalui 14 perlawanan kompetitif tanpa tewas dan kali terakhir mereka kalah adalah di tangan Indonesia 1-2 ketika separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2016.

Prestasi menakjubkan itu jelas satu amaran kepada Harimau Malaya yang sememangnya sedar Vietnam memang sukar dijinakkan.

Bagaimanapun, Cheng Hoe tenang melihat statistik itu sambil berkata perkara itu mampu menjadi motivasi tambahan Harimau Malaya dalam memburu kemenangan.

"Saya berpendapat tiada pasukan mampu bertahan selamanya. Pemain Malaysia perlu sentiasa yakin dan walaupun ia tidak akan mudah, kami harus menerima cabaran ini," kata Cheng Hoe.

Sementara itu, jurulatih Vietnam, Park Hang-Seo, menganggap aksi final kali ini cukup istimewa dan terbesar buat dirinya bersama skuad Naga Emas itu.

Suasana stadium yang pasti gamat dengan kehadiran lebih 80,000 penyokong negara bukan satu masalah apabila mereka bersedia menggunakan bahasa isyarat sebagai panduan memberikan arahan di atas padang.

“Vietnam kali terakhir layak ke final dan muncul juara 10 tahun lalu pada 2008. Jadi, ini sudah tentu perlawanan yang amat istimewa kepada saya dan penyokong Vietnam walaupun kami akan beraksi di sini terlebih dahulu di depan 80,000 peminat Malaysia,” ujar Hang-Seo.

Sementara itu, penjaga gol Harimau Malaya, Farizal Marlias, sekali lagi meletakkan sasaran mahu memastikan tiada jaringan mampu dibolosi di laman sendiri sambil dua pemain negara, Syamer Kutty Abba dan Ahmad Hazwan Bakri, berpendapat kelibat Nguyen Quang Hai perlu menjadi perhatian utama sambil melihat seluruh pasukan Vietnam.

Jika skuad negara mampu menamatkan aksi sekurang-kurangnya seri tanpa jaringan seperti mana terjadi sewaktu menentang Thailand, final kedua di Hanoi pasti lebih terbuka.

"Aksi seimbang. Kami mahu, walaupun kami tidak jaringkan gol, kami tidak dibolosi. Apabila bermain di Vietnam, apa sahaja boleh berlaku, sama seperti ketika berdepan Thailand. Saya percaya kami mampu melakukannya," kata Farizal.

"Ada beberapa pemain utama seperti pemain berjersi nombor 19 yang perlu dikawal. Bukan fokus kepada seorang pemain sahaja tetapi seluruh pasukan," ujar Syamer.

"Kami perlu bersedia dengan apa sahaja perancangan jurulatih. Kami berserah kepada Allah," tambah Hazwan.