Final Piala AFF: Cheng Hoe janji turunkan barisan terbaik 

Oleh Staff Writer 14 Disember 2018 2927
 Final Piala AFF: Cheng Hoe janji turunkan barisan terbaik 
"Percaturan berani mati demi mencapai kemenangan." Itu yang dilaungkan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, apabila sedia mempertaruhkan kesebelasan terbaiknya dalam perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, malam esok.

Cheng Hoe menghela nafas lega apabila tiga tonggak pertahanannya kembali memperkuatkan pasukan menjelang final kedua di Hanoi itu. 

Aidil Zafuan Abdul Radzak, Syazwan Andik Ishak dan Syahmi Safari yang terlepas pertemuan pertama di Bukit Jalil, Selasa lalu, dijangka akan membarisi aksi penentuan kejuaraan itu. 

Tatkala Syahmi sudah cukup bersedia untuk beraksi, kemampuan Aidil dan Syazwan untuk menggalas misi penting itu tampak membimbangkan.

Ini kerana kedua-duanya baru pulih daripada kecederaan, sekali gus berdepan cabaran hebat untuk mengharungi aksi 90 minit itu nanti.

"Khidmat Syahmi Safari, Aidil Zafuan dan Syazwan Andik tidak dapat diturunkan sebelum ini. 

"Namun, kali ini saya akan dapat menurunkan barisan pertahanan terbaik dan kesebelasan yang terbaik.

"Dengan itu, saya harap kami mampu mencapai keputusan yang baik," kata Cheng Hoe. 

Kedua-dua pasukan akan berentap buat kali ketiga dalam kempen 2018 selepas terikat 2-2 dalam final pertama, Selasa lalu, serta kemenangan 2-0 yang memihak Vietnam dalam aksi kumpulan di Hanoi, 16 November lalu.

"Suasana kali ini agak berlainan. 

"Kami sedar hanya kemenangan yang akan menjamin kejuaraan. 

"Saya harap pemain tidak tertekan dengan keputusan perlawanan terdahulu. Saya nak pemain menikmati suasana perlawanan akhir," katanya lagi. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen