Pemain tengah skuad Harimau Malaya, Akram Mahinan, berjanji akan menghadirkan perlindungan terbaik buat barisan pertahanan negara bagi memastikan tiada ruang diperoleh Vietnam untuk melakukan serangan balas dalam aksi final pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Akram mula bersinar sejak skuad negara mengatasi Myanmar dalam saingan terakhir Kumpulan A di laman sendiri 24 November lalu.

Persefahamannya bersama rakan gandingan, Syamer Kutty Abba, menjadi faktor penting yang memacu Harimau Malaya ke final selepas mengatasi juara bertahan, Thailand, dalam aksi separuh akhir, minggu lalu.

Dia berharap untuk meneruskan kerjasama yang baik bersama Syamer bagi menyekat strategi serangan pantas Vietnam.

"Setakat ini, segalanya berjalan dengan lancar.

"Saya mempunyai hubungan dan komunikasi yang baik bersama Syamer.

"Ia memudahkan tugas kami di atas padang," katanya.

Dalam pada itu, Akram tidak mengambil serius terhadap kritikan pedas peminat yang menyifatkan dirinya tidak layak untuk berada dalam kesebelasan utama negara.

Baginya, dia telah menjalankan tanggungjawabnya itu sebaik mungkin seperti yang diarahkan pengendali negara, Tan Cheng Hoe.

"Saya menjadikan segala kritikan itu sebagai motivasi untuk memberikan aksi lebih baik.

"Apa yang penting adalah setiap pemain mengikut perancangan seperti yang direncanakan barisan kejurulatihan negara," tambahnya.