Tonggak pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak, sedia kembali mengerah kudratnya untuk berada dalam perjuangan wajib menang Harimau Malaya dalam aksi final kedua Piala Suzuki AFF di Hanoi, Vietnam, Sabtu ini.

Skuad negara berlepas ke Hanoi, hari ini, dan Aidil menjelaskan dia sedia untuk kembali beraksi selepas mengalami kecederaan sewaktu berdepan Thailand dalam aksi separuh akhir kedua di Bangkok, minggu lalu.

"Saya bersedia untuk beraksi dalam final kedua di Hanoi.

"Perlawanan masih lagi terbuka walaupun mereka mempunyai bekalan gol laman lawan.

"Fokus kami kini adalah untuk meraih kemenangan bagi menjulang kejuaraan," katanya.

Mengulas aksi longgar pertahanan negara dalam final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa lalu, ini reaksi Aidil: "Rakan-rakan yang menggantikan saya dan Syahmi Safari -- yang tidak beraksi kerana penggantungan perlawanan dalam final pertama-- telah melakukan tugas mereka dengan baik.

"Siapa sahaja yang terpilih dalam final kedua nanti perlu mengekalkan aksi yang baik bagi memastikan kami tidak dibolosi.

"Sebagai seorang pemain senior, saya perlu memberikan sokongan kepada pemain-pemain muda yang lain," katanya lagi.