Kehangatan final pertama Piala Suzuki AFF 2018 di antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, dua hari lagi semakin dirasai apabila kesemua 80,000 keping tiket yang diperuntukkan habis dijual hari ini.

Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam laman Facebook rasmi mereka, sebanyak 40,000 tiket yang dijual secara fizikal di tiga lokasi di sekitar Lembah Klang habis dibeli dalam masa singkat.

Tiga lokasi itu ialah di kaunter tiket pintu A dan E Stadium Nasional Bukit Jalil, Arena Futsal FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya (hanya bagi yang memiliki keratan tiket separuh akhir kedua di Bangkok) dan 1,000 tiket di Al-Ikhsan Sports Cawangan IOI City Mall, Putrajaya.

Untuk rekod, sebanyak 40,000 tiket yang dijual dalam talian, kelmarin dan semalam, juga habis dibeli dalam masa singkat.

Malaysia mencatat keputusan agregat 2-2 menentang Thailand dalam aksi separuh akhir, namun mara ke final menerusi peraturan gol tempat lawan, Rabu lalu.

Vietnam pula menempah tiket ke final setelah mencatat kemenangan agregat 4-2 ke atas Filipina dalam satu lagi aksi separuh akhir kejohanan yang menggunakan format timbal balik itu.

Perlawanan final pertama akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini, sebelum aksi kedua berlangsung di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, empat hari kemudian.

-- BERNAMA