Sevilla membuktikan bahawa mereka adalah pasukan gergasi selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menenwaskan Inter Milan dan menjuarai Liga Europa awal pagi tadi, kata pencetus gol kemenangan pasukan itu, Diego Carlos.

Walaupun muncul wira kemenangan pasukannya di Cologne, Diego Carlos memulakan perlawanan itu dengan buruk apabila menjadi punca pasukan lawan mendapatkan sepakan penalti apabila menjatuhkan Romelu Lukaku -- yang tidak mensia-siakan peluang itu -- di dalam kawasan berkenaan.

Pengadil, Danny Makkelie, hanya melayangkan kad kuning buat pemain kebangsaan Brazil itu dan selepas Luuk de Jong menyamakan kedudukan buat Sevilla menerusi gol tandukannya, Diego Carlos amat bertuah kerana tidak memberikan lawan satu lagi sepakan penalti susulan bola terkena tangannya.

De Jong kemudian bijak menanduk masuk bola sepakan percuma Ever Banega pada minit ke-33 tetapi Diego Godin kembali mengikat kedudukan buat Inter sebelum waktu rehat.

Separuh masa kedua berlangsung sedikit hambar tetapi Diego Carlos memberikan impak besar apabila percubaan akrobatiknya terkena Lukaku dan ke jaring lawan pada minit ke-74.

"Saya amat-amat gembira. Saya berkata kepada keluarga bahawa saya perlu menjaringkan gol penting dan ia berlaku. Saya amat-amat gembira dengan segala-galanya," katanya kepada Movistar.

"Ini adalah pasukan dengan pemain-pemain gergasi, yang akan berjuang sehingga ke saat-saat akhir.

"Saya mendedikasikannya kepada isteri saya yang sedang hamil.

"Ia gelaran yang amat penting buat kami. Saya berterima kasih kepada Sevilla di atas apa yang telah mereka lakukan untuk saya,"katanya.

Ia merupakan kali pertama De Jong menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan buat Sevilla, yang melebarkan rekod kejuaraan dalam kejohanan kelab kedua terbesar Eropah itu kepada enam gelaran.

"Ia luar biasa. Kami melalui perlawanan yang sukar sepanjang kejohanan ini tetapi kami bermain dengan baik sebagai satu pasukan dan anda dapat melihatnya sepanjang kejohanan ini bahawa kami seperti satu keluarga. Tidak kira sesiapa yang bermain, semua orang bekerjasama dan anda dapat melihatnya dalam perlawanan ini," kata De Jong kepada BT Sport.

"Kami bermula baik tetapi mereka kemudian menjaringkan gol secara tiba-tiba melalui sepakan penalti.

"Tetapi saya kemudian menjaringkan dua gol tandukan. Ia perasaan yang hebat dan mujurlah kami memenanginya pada penghujung perlawanan.

"Hantaran lintang pertama daripada (Jesus) Navas amat sempurna dan saya mengarahkannya ke near post dan ia masuk ke dalam, dan yang kedua juga satu hantaran lintang baik daripada Banega. Ia masuk dengan sempurna," katanya.