Final Liga Europa: Conte elak jawab soalan bakal tinggalkan Inter

Oleh Muzaffar Musa 21 Ogos 2020 132
Final Liga Europa: Conte elak jawab soalan bakal tinggalkan Inter
Antonio Conte mengelak daripada menjawab soalan sama ada final Liga Europa musim ini akan menjadi perlawanan terakhirnya sebagai ketua jurulatih Inter Milan atau tidak.

Terdapat desas-desus bahawa Conte hanya akan memegang jawatannya selama semusim dengan Massimiliano Allegri dan Mauricio Pochettino sedang dikaitkan untuk menerajui skuad Nerazzurri itu.

Bekas pengendali Itali, Juventus dan Chelsea itu menimbulkan tanda tanya pada awal bulan ini apabila mendakwa Inter sebagai kelab yang tidak melindungi pemain sepanjang waktu sukar tahun ini.

Inter, yang menamatkan Serie A selaku naib juara di belakang Juventus, berpeluang untuk menamatkan penantian trofi selama sembilan tahun mereka apabila berdepan wakil Sepanyol, Sevilla, di Cologne awal pagi esok.

Di sebalik keterujaan mengenai peluang itu, masih menjadi persoalan sama ada Conte akan kekal mengemudi pasukan itu bagi musim 2020-21.

Ditanya sama ada perlawanan menentang Sevilla itu berkemungkinan menjadi aksi perpisahannya bersama Inter, Conte tidak memberikan jawapan yang tepat sebaliknya memberikan pandangan mengenai seluruh karier kejurulatihannya.

"Sepanjang beberapa tahun ini, saya belajar untuk hanya menghadapi satu perkara bagi satu-satu masa. Saya mencuba untuk menikmati peluang ini.
 
 "Saya amat menyedari bahawa hari esok akan tiba. Saya akan mencuba untuk melalui dan menikmati final esok.

"Itulah yang saya belajar untuk melakukannya dalam karier saya: untuk mencuba dan menghadapi satu perkara pada satu-satu masa, menikmati waktu ini, untuk berfikir apa yang berlaku pada ketika ini dan mencuba untuk melaluinya daripada setiap sudut tanpa ada sebarang penyesalan," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen