Ronald Koeman bingung menggambarkan spekulasi berterusan mengaitkan masa depannya sebagai pengurus Barcelona apabila melabelnya sebagai sedikit aneh.

Ini adalah musim pertama bekas pengendali Belanda itu memimpin Camp Nou yang penuh bergelora dengan kontrak dua tahun sejak Ogos lalu.

Pada awalnya, dia perlu berdepan dengan permintaan perpindahan Lionel Messi menjelang sepak mula kempen 2020-21.

Kegagalan melepasi pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) menjadi kekecewaan besarnya tetapi prestasi luar biasa dalam LaLiga kebelakangan ini telah meletakkan mereka sebagai calon juara.

Mereka menempa kekalahan pertama sejak awal Disember lalu ketika tersungkur kepada Real Madrid dalam pertemuan 'El Clasico' hujung minggu lalu, tetapi mereka hanya dua mata dipisahkan dengan pendahulu LaLiga, Atletico Madrid, dengan baki lapan perlawanan.

Mereka akan berhitung dengan Athletic Bilbao dalam final Copa del Rey, awal pagi esok, dan ketika ditemui dalam sidang media sebelum perlawanan, Koeman jelas berang dan tidak mampu menahan kesabarannya ketika ditanya apakah kegagalan meraih trofi akan mengundang pemecatannya.



"Sekiranya anda ingin mendengar pendapat saya mengenai perkara ini, ia agak pelik kerana saya perlu menjawab soalan seperti ini," katanya kepada wartawan.

"Kami menempuhi 19 perlawanan tanpa kalah, kami tewas satu perlawanan dan saya kini perlu menjawab soal masa depan.

"Mungkin saya perlu menerima perkara seperti ini tetapi saya tidak setuju. Anda harus melakukan tugas anda dan bercakap dengan pengurusan kelab. Saya mempunyai kontrak setahun lagi.

"Saya tahu sebelum perlawanan apa yang akan berlaku jika kami menang atau tidak. Saya harus akur. Saya mengambil tugas ini sebagai pengurus jadi saya tahu wujud tekanan besar dan saya mampu mengatasinya. Kadang-kadang ia agak pelik."

Walaupun khabar angin mengatakan Koeman mungkin tidak akan mengekalkan jawatannya musim depan tetapi presiden baru, Joan Laporta, menawarkan sokongannya sejurus memenangi pemilihan bulan lalu.

Ditanya adakah dia masih memerlukan sokongan Laporta selepas kekalahan kepada Madrid, Koeman berkata: "Saya tidak memerlukannya. Kami telah bercakap dan dia telah menunjukkan keyakinannya kepada saya.

"Jika seseorang menulis mengenai masa depan saya, presiden tidak perlu tampil untuk menunjukkan keyakinannya.

"Saya akan menjadi individu yang pertama mengetahui tentang pendapat Laporta.

"Di kelab ini, anda perlu memenangi piala dan di sebalik perubahan dan keadaan ekonomi kelab, kami masih mampu ke final dan kami mahu memenanginya; spekulasi tidak penting."

Ia akan menjadi pertemuan keempat musim ini di antara kedua-dua pasukan dengan Barca memenangi pertembungan LaLiga sementara Athletic merakamkan kemenangan dramatik 3-2 dalam Supercopa de Espana, Januari lalu.