Legenda Real Madrid dan Portugal, Luis Figo, kini menyertai Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) sebagai penasihat bola sepak selepas disahkan oleh badan itu.

Figo merupakan antara pemain terbaik dunia ketika zamannya, menikmati karier selama 19 tahun yang bermula bersama Sporting Lisbon pada 1990 sebelum berakhir di Inter Milan pada 2009.

Bekas pemain sayap itu turut mewakili dua seteru LaLiga, Barcelona dan Real Madrid, serta berjaya memenangi empat kejuaraan liga dan menjadi juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama Los Blancos pada 2002.

Sejak bersara, dia sering dikaitkan dengan badan-badan bola sepak dan mengumumkan keinginan untuk bertanding merebut jawatan presiden FIFA pada 2015 sebelum menarik diri atas sebab tidak selesa dengan ideologi yang wujud dalam badan berkenaan.

Dilantik sebagai penasihat bola sepak, Figo bakal melibatkan diri dalam aspek teknikal dan undang-undang permainan serta seluruh daya penarik terhadap sukan itu, sekaligus menjadikannya sebagai duta UEFA.

"Saya amat bertuah dapat menimba ilmu dan pengalaman, dan saya percaya mampu membawa pengaruh positif dalam menyalurkan apa yang saya miliki.

"Bola sepak kini semakin berkembang. Satu penghormatan buat saya untuk bersama UEFA dan saya mahu berterima kasih kepada Aleksander Ceferin (Presiden UEFA) kerana memberikan peluang ini," katanya.

Sementara itu, Ceferin menyifatkan Figo sebagai pemain yang dihormati dan menjadi contoh buat semua tentang bagaimana dia mengawal dirinya di dalam dan di luar padang.

"Figo dihormati di dalam padang dan saya berbangga dia menyertai kami. Pengalaman hebatnya dalam bola sepak akan menjadi aset bernilai untuk UEFA," tambah Ceferin.