Atletico Madrid membuat laporan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung usaha Barcelona memburu bintang mereka, Antoine Griezmann, demikian badan pentadbir bola sepak dunia itu mengesahkannya.

Aduan Atletico itu hadir selepas Pengarah Barca, Guillermo Amor, berkata minggu ini mengenai kemungkinan Presiden, Josep Maria Bartomeu, akan "mengadakan pertemuan dengan keluarga Griezmann", biarpun dia sendiri menjelaskan tidak pasti sama ada ia akan berlaku.

Tonggak Perancis itu mempunyai kontrak di Wanda Metropolitano sehingga Jun 2022, namun terus dikaitkan dengan perpindahan.

Griezmann dilaporkan hampir berhijrah ke Manchester United pada musim panas lalu, sebaliknya memilih untuk kekal di Atletico.

Jurulatih, Diego Simeone, kemudian mencetuskan spekulasi dengan mengatakan dia tidak akan berdepan masalah dengan Griezmann sekiranya penggempur itu menginginkan cabaran baru.

Bagaimanapun, Atletico berasa tidak sedang dengan usaha Barca itu untuk cuba memikat pemain berusia 26 tahun berkenaan lalu menjadi modal kepada mereka untuk membuat aduan kepada FIFA sebelum badan induk itu mengesahkannya kepada Omnisport.

Bekas pemain Barcelona, ​​Amor, mencadangkan ada "kewajipan" buat kelabnya untuk menjadikan Griezmann sebagai sasaran kerana membayangkan semacam wujud "hubungan istimewa" di antara bekas pemain Real Sociedad itu dan gergasi Catalan berkenaan.

Amor menegaskan dia tidak tahu mengenai butiran terperinci usaha memburu Griezmann itu, namun Atletico berasakan ia sudah cukup untuk mengambil langkah mengadu kepada FIFA.

Atletico, Barcelona dan Real Madrid pernah dikenakan sekatan perpindahan dalam tempoh tiga tahun terakhir ini akibat melanggar peraturan berhubung menandatangani pemain muda, dan kelab yang berpangkalan di Camp Nou itu kini mungkin berdepan masalah lagi.