Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan England dan Scotland akan dikenakan tindakan susulan mengenakan pemakaian bunga popi ketika aksi kelayakan Piala Dunia, Jumaat lalu.

Dua negara tersebut memakai lilitan hitam yang memaparkan bunga popi sebagai tanda peringatan kepada mereka yang gugur di medan perang.

Bagaimanapun, FIFA telah mengenakan peraturan di mana pemain dilarang menampilkan sebarang unsur politik, keagamaan atau kenyataan dalam mana-mana perlawanan.

Menurut kenyataan yang telah dikeluarkan dalam hampir kesemua laporan media Britain, jurucakap FIFA berkata: "Kami mengesahkan bahawa tindakan disiplin akan dikenakan terhadap kedua-dua pasukan terlibat (England dan Scotland). Kami tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut."

Difahamkan, hukuman paling berat yang bakal dihadapi kedua-dua pasukan adalah pemotongan mata dalam saingan Kumpulan F, namun media menjangkakan FIFA hanya akan mengenakan pembayaran denda.

Meskipun telah diberikan amaran, Ketua Eksekutif Persatuan Bola Sepak England, Martin Glenn, menegaskan England akan meneruskan tradisi pemakaian bunga popi kerana ia adalah prinsip negara itu.

Wales, bagaimanapun, akur dengan peraturan FIFA dan hanya mengenakan pemakaian lilitan hitam sebagai tanda penghormatan.

Langkah sama turut diambil Ireland Utara.