Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan memperkenalkan anugerah baru bagi menyaingi Ballon d'Or, dengan anugerah terbaik itu akan diberikan kepada pemain bola sepak terbaik dunia pada Januari nanti, umum badan induk bola sepak dunia itu.

Keputusan itu diambil berikutan kontrak di antara majalah bola sepak Perancis berkenaan dengan badan induk bola sepak dunia tersebut bakal tamat akhir tahun ini, dan FIFA mendedahkan pengganti kepada anugerah itu.

Aungerah itu nanti akan melibatkan lebih ramai peminat dalam sistem undian baru yang akan diperkenalkan untuk memilih pemain dan jurulatih terbaik.

Sebanyak 50 peratus daripada undian itu adalah berdasarkan pilihan ketua pasukan dan jurulatih kebangsaan di serata dunia. Baki 50 peratus lagi akan dibahagikan menerusi undian dalam talian dan penglibatan kumpulan yang terdiri daripada 200 wakil media di seluruh dunia.

Presiden FIFA, Gianni Infantino, berkata, "Majlis ini adalah mengenai bola sepak yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan peminat.

"Ia adalah majlis baru dengan pendekatan baru bagi meraikan sukan yang kita minati."

Pemain-pemain akan terus memilih kesebelasan terbaik dunia, FIFPro World11, manakala peminat akan memilih calon Anugerah Puskas bagi gol terbaik tahunan menerusi undian di atas talian.

Senarai pendek calon nama-nama jurulatih dan peminat -- untuk kategori lelaki dan wanita -- akan diumumkan minggu ini dengan tiga calon terakhir bagi setiap kategori akan didedahkan pada 2 Disember nanti.