Kesatuan Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro) telah menarik semula aduan terhadap Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan sistem perpindahan semasa selepas kedua-dua organisasi itu menandatangani perjanjian demi memacu sukan itu.

Pada 2015, kesatuan yang mewakili pemain itu bersama-sama Suruhanjaya Eropah melancarkan tindakan undang-undang terhadap badan induk itu apabila menuduh FIFA mengawal pasaran perpindahan dalam kalangan kelab dan telah memperdayakan peminat bola sepak.

Mereka juga berpendapat bahawa sistem semasa gagal mempromosikan perpaduan kewangan.

Bagaimanapun, aduan berkenaan kini digugurkan selepas FIFA bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji dan menjalankan kajian semula terhadap sistem perpindahan yang lebih meluas.

Ikrar itu adalah sebahagian daripada kerjasama enam tahun yang dimeterai kedua-dua pihak demi mengukuhkan hubungan dan meningkatkan pengurusan bola sepak profesional.

"Hari ini menandakan satu kejayaan penting dalam peningkatan tadbir urus bola sepak profesional," kata Presiden FIFA, Gianni Infantino.

"Saya telah menyaksikan kerjasama luar biasa antara FIFA, FIFPro, Persatuan Kelab-Kelab Eropah dan Forum Liga Dunia.

"Ini adalah rundingan rumit melibatkan pihak berkepentingan utama dan semua pihak telah berkompromi dalam beberapa perkara dan pada akhirnya, perjanjian ini membawa manfaat untuk semua dan pemenang muktamad adalah bola sepak.

"Saya tidak sabar-sabar untuk melihat pendekatan kerjasama yang sama untuk perbincangan yang akan bermula sekarang, iaitu mengenai kajian semula sistem perpindahan yang lebih meluas. Semua pihak -- persatuan, konfederasi, pemain, kelab dan anggota liga -- masing-masing mempunyai peranan penting dalam proses ini."

Tambah Presiden FIFPro, Philippe Piat: "Kata sepakat ini telah membantu menggerakkan perubahan terbesar dalam peraturan perpindahan bola sepak sejak 2001.

"Meskipun kelab dalam liga paling mewah sering melayan pemain dengan baik, wujud hak-hak pemain yang sering diabaikan dalam liga lain.

"Perubahan peraturan ini akan membantu melindungi 60,000 pemain di bawah naungan FIFPro untuk mewakili perlakuan tidak adil."