Meraih peluang untuk beraksi bersama Lionel Messi di Barcelona membuatkan Matheus Fernandes tidak mampu berkata apa-apa tetapi yakin mampu mencipta sejarah dengan kelab LaLiga itu.

Januari lalu, Barca bersetuju untuk mendapatkan khidmat Fernandes daripada Palmeiras dengan yuran berjumlah EUR7 juta (RM32 juta) tetapi dipinjamkan kepada Real Valladolid sehingga Julai depan.

Namun, pemain tengah itu gagal melakukan sebarang penampilan selepas wabak coronavirus menyebabkan saingan terpaksa ditangguhkan.

Walaupun tidak pasti dengan masa depannya dalam proses pinjaman itu, Fernandes yakin dia akan menikmati karier gemilang di Camp Nou.

"Saya tidak dapat menjelaskannya. Untuk memikirkan dapat beraksi bersama pemain terbaik dunia, saya tidak tahu untuk berkata apa-apa," katanya.

"Satu impian untuk mewakili kelab hebat dan berpeluang menjadi sebahagian daripadanya.

"Sasaran saya adalah beraksi untuk Barca. Kontrak saya di Valladoid akan berakhir Jun nanti dan saya mahu berada di Barca yang menjadi impian sejak kecil.

"Jika saya tidak ke Barca, saya akan terus belajar di Valladolid atau kelab lain yang menilai saya. Saya gembira berada di sini dan beraksi dalam LaLiga.

"Saya fikir akan berjaya di Barca. Saya berpotensi dan memiliki kualiti hebat tetapi akan terus meningkat.

"Saya harap akan berada di sana dalam tempoh lama dan memenangi banyak kejuaraan serta mencipta kejayaan bersama kelab dan penyokong. Jika kelab gembira, saya pasti suka."