Bruno Fernandes melepaskan penalti ketika di ambang meledak hatrik berdepan Istanbul Basaksehir dalam usaha membantu Marcus Rashford mendahului pasukan selaku penjaring gol terbanyak saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini.

Manchester United mengatasi Basaksehir 4-1 di Old Trafford untuk kekal di puncak Kumpulan H menjelang dua perlawanan terakhir berdepan Paris Saint-Germain (PSG) dan RB Leipzig.

United hanya memerlukan satu mata daripada dua perlawanan tersebut bagi melangkah ke pusingan 16 dan mereka kelihatan tidak berdepan ancaman dikejutkan awal pagi tadi.

Fernandes meledak dua gol dalam tempoh 19 minit dan berpeluang untuk meledak hatrik apabila Boli Bolingoli menjatuhkan Rashford dalam kotak penalti.



Pemain kebangsaan Portugal itu, pengambil sepakan penalti United, pada mulanya memegang bola tetapi memberikannya kepada Rashford, yang tenang menyempurnakannya.

Ia merupakan jaringan penyerang England itu yang kelima dalam saingan UCL musim ini, dengan Erling Haaland -- yang meledak dua gol awal pagi tadi -- menjadi satu-satunya pemain yang meledak lebih (enam), dan Fernandes mendedahkan dia sedang membantu rakan sepasukannya itu.

"Sememangnya semua pemain mahukan hatrik, tetapi selepas perlawanan Liga Perdana Inggeris [berdepan West Brom Sabtu lalu] saya memberitahu Rashford bahawa dia boleh sepakan penalti yang seterusnya," kata Fernandes kepada BT Sport.

"Jadi saya ingat bahawa dia merupakan penjaring terbanyak saingan UCL, jadi saya berasakan ia penting baginya untuk kekal menemui jaringan dan kekal yakin dengan kemampuannya.

"Tetapi seperti yang saya katakan, ia tidak kisah siapa yang mengambil sepakan penalti selagi pasukan mendapatkan gol. Apabila pasukan menjaringkan gol, saya juga mendapatkan jaringan."

Lima gol Rashford terhasil daripada empat perlawanan -- dia memerlukan 18 perlawanan untuk meledak gol kelimanya dalam pertandingan tersebut.

Pengurus pasukan, Ole Gunnar Solskjaer, kelihatan tidak memiliki sebarang isu dengan keputusan Fernandes, mengakui United memiliki ramai pemain yang berkeyakinan untuk menyempurnakan sepakan penalti.

"Marcus seorang pengambil sepakan penalti yang baik dan Bruno sangat yakin dengannya," kata Solskjaer. "Jika Bruno mahu berikannya kepada Marcus jadi mengapa tidak?

"Anthony Martial mengambil satu ketika bertemu Leipzig -- mengapa tidak berkongsi dengan semua orang?"

Satu-satunya perkara yang tidak diingini United di sebalik prestasi yang menggembirakan adalah kecederaan Victor Lindelof dan Aaron Wan-Bissaka, namun Solskjaer menjelaskan ia bukanlah masalah yang serius dan mereka dijangka turun berdepan Southampton Ahad ini.