Roberto Martinez memberikan bayangan buat Brazil mengenai corak permainan yang akan dipamerkan Belgium dalam aksi suku akhir Piala Dunia, awal pagi Sabtu ini, dengan menyifatkan kepentingan dalam ketahanan memungkinkan Marouane Fellaini diturunkan dalam kesebelasan utama.

Belgium mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menjaringkan tiga gol dalam separuh masa kedua ketika berdepan Jepun, termasuk jaringan kemenangan oleh Nacer Chadli sewaktu perlawanan memasuki masa kecederaan untuk menewaskan lawan 3-2.

Sebelum itu, mereka ketinggalan 2-0 dan kemasukan Fellaini serta Chadli pada minit ke-65 dilihat telah memberikan kelebihan fizikal buat pasukan berbanding kelibat pemain yang digantikan, Dries Mertens dan Yannick Carrasco.

Melihat kedua-dua pemain itu masuk dan menjaringkan gol buat Belgium, Martinez memberi bayangan bahawa Fellaini berkemungkinan besar membarisi kesebelasan utamanya dalam aksi suku akhir di Kazan.

"Sebagai pengendali, saya memiliki banyak pilihan dalam pasukan ini tetapi saya tahu apa yang saya mahukan," kata Martinez.

"Kami memerlukan kekuatan. Jika kami mempamerkan pemikiran yang sama seperti perlawanan pada Isnin lalu, kami berpeluang cerah.

"Ia adalah perlawanan impian buat pemain-pemain kami, mereka dilahirkan untuk beraksi dalam pertemuan sebegini. Kami mahu menang tetapi tidak dijangka meraihnya dan itu perkara yang membezakannya."

Di atas kertas, Brazil dilihat lebih berpeluang selepas menundukkan Mexico dalam pusingan kedua, menahan asakan awal sebelum membenam lawan dengan dua gol bergaya.

Neymar mengetuai mereka, menjaringkan satu gol dan mencipta satu bantuan jaringan, sekali gus mempamerkan aksi memukau walaupun berdepan kecederaan patah tulang kaki sebelum ini.

Walaupun pengurus Mexico, Juan Carlos Osorio, mengecam tindakan Neymar yang berlakon dalam usaha untuk meraih perhatian pengadil, legenda Brazil, Rivaldo, hanya mahukan pemain termahal dunia itu mengabaikan kritikan dan terus mempamerkan corak permainannya sambil Belgium sudah tentu berhati-hati dengan tipu helahnya.

"Neymar, main sahaja seperti biasa dan usah risaukan komen daripada negara lain kerana banyak yang sudah pulang," kata Rivaldo menerusi laman Instagram.

"Jika anda perlu menggelecek, lakukannya. Kalau anda harus menggunakan 'chapeau' (teknik melambungkan bola melepasi kepala), lakukan. Jika perlu jaringkan gol, teruskan. Jika perlu jatuh akibat kekasaran, lakukan.

"Sama juga jika anda memerlukan masa berbaring di atas padang, lakukan sahaja kerana semua orang melakukan perkara sama. Apa yang menjadi masalah adalah anda merupakan idola buat negara ini dan ia mengganggu orang ramai tanpa saya ketahui puncanya.

"Teruskan hiburkan kami dengan bola sepak gaya anda," ujarnya.

Pengendali Brazil, Tite, perlu merencana percaturan baru memandangkan pemain tengah, Casemiro, digantung sementara kecederaan paha yang melanda Douglas Costa masih belum pulih.


PEMAIN TUMPUAN

Brazil - Neymar


Jika Neymar beraksi baik, perkara sama berlaku terhadap Brazil. Ia satu percaturan mudah. Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu merupakan tunjang pasukan. Selepas mempamer aksi terbaik ketika berdepan Mexico, dia dijangka meneruskan prestasi itu dan bersedia untuk menghantui barisan pemain Belgium.

Belgium - Kevin De Bruyne

Walaupun Martinez menyifatkan kekuatan akan menjadi pertaruhan berdepan Brazil, dia harus ingat bahawa dirinya juga memiliki salah seorang pemain tengah terbaik dunia ketika ini. Sewaktu berdepan Jepun, De Bruyne digunakan terlalu ke bawah sehingga di peringkat akhir. Tanpa Casemiro, De Bruyne mungkin mampu meranapkan harapan Brazil.