Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, berkata Joao Felix perlu terus meningkatkan prestasi selepas melakukan penampilan pertama dalam LaLiga sambil memuji pertahanan baru, Kieran Trippier, yang mencipta bantuan gol kemenangan.

Felix menikmati aksi pertama di pentas tertinggi bola sepak Sepanyol tatkala Atletico memulakan saingan 2019-20 dengan langkah kanan selepas tandukan Alvaro Morata pada minit ke-23 membolehkan mereka mencatat kemenangan 1-0 ke atas Getafe di laman sendiri, awal pagi tadi.

Pemain termahal kelab itu yang datang daripada Benfica, Felix, dilihat bergelut untuk menggegarkan gawang Getafe tetapi pemain berusia 19 tahun itu masih berupaya mencipta satu larian solo dari kawasan sendiri sehingga membolehkannya menerima sepakan penalti tetapi Morata pula gagal menyempurnakannya.

Bercakap tentang penampilan pertama Felix di Wanda Metropolitano -- di mana pemain Portugal itu dikeluarkan pada minit ke-66 akibat kecederaan, Simeone memberitahu wartawan: "Aksi pertama liga tidak mudah. Ia kompleks.

"Lawan bertahan dengan bagus. Mereka tidak memberikannya ruang dalam babak pertama, jadi ia menjadi kesempatan buatnya.

"Namun, secara individu, Felix menunjukkan kekuatan dan diharapkan ia mampu diteruskan. Dia perlu terus meningkat."

Pertahanan England, Trippier, turut melakukan penampilan pertama dalam LaLiga bersama Felix dan Renan Lodi selepas tiba daripada finalis Liga Juara-Juara Eropah, Tottenham Hotspur.

Trippier melakukan hantaran lintang sempurna untuk Morata menanduk masuk melepasi David Soria sambil Lodi diperintahkan keluar padang selepas menerima dua kad kuning sebelum pemain Getafe, Jorge Molina, turut diberikan kad merah selepas rujukan Video Bantuan Pengadil (VAR) beberapa minit kemudian.

"Dia bermain sangat baik dengan kualiti dan ketepatan," kata Simeone mengenai Trippier.

"Hantaran lintangnya untuk Morata sangat sempurna dan mujur ia menemui penyerang hebat seperti penggempur Sepanyol itu."

Dalam masa sama, Simeone turut ditanya mengenai penyerang Valencia, Rodrigo Moreno, yang dikaitkan dengan penghijrahan ke Atletico sebelum tarikh akhir jendela perpindahan pada 2 September ini.

"Kami tidak boleh bercakap tentangnya kerana Rodrigo adalah pemain Valencia. Kami perlu berbincang mengenai pemain yang ada di sini," tambahnya.