ATLETICO MADRID 2 LOKOMOTIV MOSCOW 0

Joao Felix dan Felipe menemui sasaran untuk Atletico Madrid menamatkan rentetan empat perlawanan tanpa kemenangan dan mara ke pusingan 16, Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Lokomotiv Moscow di Wanda Metropolitano awal pagi tadi.


Dua kekalahan berturut-turut dalam saingan Kumpulan D itu meletakkan Atletico tiada pilihan selain menewaskan pasukan yang sudah tersingkir, Lokomotiv, untuk menuruti Juventus, yang sudah layak lebih awal ke pusingan berikutnya.

Kieran Trippier gagal menyudahkan sepakan penalti pada minit kedua tetapi Felix memadamkan kegusaran itu apabila menjaringkan sepakan penalti kedua berselang 15 minit.

Gol Alvaro Morata dibatalkan kerana ofsaid sebelum Felipe menjaringkan gol kedua pada awal babak berikutnya untuk Atletico menantikan undian pusingan kalah mati Isnin ini selepas Bayer Leverkusen disingkirkan pendahulu kumpulan, Juve, dalam satu lagi perlawanan.

Anton Kochenkov menjatuhkan Felix dalam kawasan penalti pada minit pertama tetapi penjaga gol itu bertindak tangkas untuk menafikan jaringan pembukaan Trippier.

Atletico kemudian memperoleh peluang sama apabila video bantuan pengadil (VAR) mendapati bola terkena tangan Rifat Zhemaletdinov ketika Vedran Corluka cuba menyelamatkan keadaan dan Felix menyudahkan sepakan penalti itu ke penjuru kiri bawah gawang lawan.

Morata tidak lama selepas itu menerima hantaran Angel Correa untuk menewaskan Kochenkov tetapi VAR mendapati dia terlebih dahulu berada di posisi ofsaid.

Harapan untuk Lokomotiv mengelakkan kekalahan kelima dalam Kumpulan D akhirnya musnah apabila pertahanan tengah, Felipe, merembat masuk bola daripada hantaran lintang Koke menerusi voli kaki kanan yang menerjah jaring lawan.