Penyerang Atletico Madrid, Joao Felix, akan mempelajari banyak perkara daripada Diego Simeone dan memiliki bakat seperti Bernardo Siva, kata Nuno Gomes.

Felix menyertai Atletico daripada Benfica dengan harga EUR120 juta (RM577 juta) pada tahun lalu tetapi bergelut untuk menyamai nilai itu dalam musim pertamanya di pentas LaLiga.

Pemain berusia 20 tahun itu hanya meledakkan enam gol dan mencipta tiga bantuan jaringan dalam 28 perlawanan buat Atletico sambil dihantui isu kecederaan.

Legenda Portugal, Gomes, berkata rakan senegaranya itu akan belajar daripada Simeone sambil membandingkannya dengan bintang Manchester City, Silva.

"Pertamanya, Felix adalah pemain yang saya minat dan membandingkannya dengan Silva, mereka memiliki bakat yang sama," katanya.

"Semua perkara tampak mudah buat mereka. Dalam musim pertamanya di Atletico, saya masih ingat bahawa dia bermula dengan baik, meledakkan gol dalam kempen pramusim sebelum dipalit kecederaan sehingga menyebabkannya diketepikan.

"Saya percaya pengalaman dalam tahun pertama ini akan membuatkannya lebih matang daripada segi corak permainan kerana apabila memegang bola, dia sangat berbakat, sentiasa mahu menjaringkan gol. Jadi, dapat belajar daripada Simeone, ia sesuatu yang bagus untuknya.

"Simeone akan menawarkan pengalaman yang tidak pernah dia jumpa kerana dia sering beraksi secara menyerang dan kini perlu belajar cara untuk bertahan dengan lebih baik. Apabila anda berdepan situasi sukar, anda perlu bekerja lebih keras bagi memastikan dapat melepasi halangan itu, jadi saya percaya dia akan berkembang bersama Simeone."

Atletico akan menyambung aksi LaLiga dengan kunjungan ke Athletic Bilbao, Ahad ini tetapi Felix bakal menjalani penggantungan.