Kedudukan Felda United dan UKM FC dalam saingan Liga Malaysia musim depan seakan-akan terjamin apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi bayangan bahawa kedua-dua pasukan itu tidak berdepan masalah untuk diberikan kelulusan penswastaan kelab.

Sebelum ini, status Felda United dan UKM FC menjadi tanda tanya ekoran terpaksa melalui proses penelitian lanjut mengenai kedudukan semasa dan kewangan bagi tujuan penswastaan kelab.

Dengan tarikh akhir dokumen tambahan yang diperlukan FAM itu tamat semalam, kedua-dua pasukan itu tampak berjaya melepasi proses berkenaan.

Petanda positif itu didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional FAM, Firdaus Mohamed, kepada Nadi Arena hari ini.

"Tiada masalah, Felda United juga sudah dibenarkan oleh Felda cuma mereka tidak mahu keluarkan duit sahaja.

"Jika mereka tidak dapat memberikan apa (dokumen) yang kami perlukan sudah pasti mereka akan disingkirkan (daripada liga). Itu perkara biasa.

"Tetapi buat masa ini, mereka sudah memberikan apa yang kami perlukan. Saya tidak nampak mereka akan disingkirkan.

"Dalam sehari dua ini, kami akan membuat keputusan," katanya.