Felcra FC dihimpit krisis pembubaran

Oleh Penulis Jemputan 19 November 2017 5859
Felcra FC dihimpit krisis pembubaran
Pengendali Felcra FC, Rosle Md Derus, mengakui pemain dan jurulatih kelab itu masih belum mendapat sebarang kepastian daripada pihak pengurusan sama ada akan kekal beraksi dalam saingan Piala FAM musim depan atau dibubarkan.

Rosle mengakui pemain dan tenaga kejurulatihan kelab itu kini masih menantikan kata putus daripada pihak pengurusan untuk menentukan hala tuju mereka menghadapi saingan 2018.

Sebelum ini, terdapat desas-desus Felcra akan dibubarkan selepas gagal ke Liga Perdana musim depan setelah tewas 1-0 secara agregat kepada Sime Darby dalam saingan separuh akhir Piala FAM.

“Buat masa ini, kami masih lagi menunggu kata putus daripada pihak pengurusan. Setiap latihan masih dijalankan mengikut kontrak yang telah ditetapkan,” kata Rosle.

Difahamkan, pucuk pimpinan Felcra mahu memohon kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) untuk mendapatkan tempat dalam saingan Liga Perdana dan bersedia menggantikan mana-mana pasukan yang menarik diri.

Namun, tiada sebarang pengesahan diterima setakat ini.

Rosle turut menjelaskan bahawa pemain-pemain pasukannya juga ada melakukan rundingan dengan pasukan lain kerana bimbang dengan masa depan mereka yang tiada kepastian.

“Ia adalah sesuatu tidak boleh dielak kerana ia adalah untuk masa depan mereka. Terdapat beberapa pemain yang telah menjalani ujian bersama pasukan-pasukan lain,” ujarnya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen