SHAKHTAR DONETSK 1 LYON 1

Ketua pasukan yang mencetuskan inspirasi Lyon, Nabil Fekir, menghamburkan pujian terhadap aksi hebat rakan sepasukannya yang membawa Lyon ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Penyerang Perancis yang menjadi idaman Liverpool sejak sekian lama itu meledak gol penyamaan penting pada minit ke-65 untuk mencatat seri 1-1 di Shakhtar Donetsk, sekali gus mengesahkan kemaraan Lyon untuk mengiringi juara Kumpulan F, Manchester City.

Tindakan penyudah Fekir selepas menerima umpanan Memphis Depay itu memadamkan jaringan pembukaan Junior Moores dalam aksi di Ukraine yang dingin itu dan ia sudah cukup untuk wakil Ligue 1 berkenaan meraih tempat kedua.

Anak buah Bruno Genesio itu mara walaupun hanya mencatat keputusan seri dalam lima perlawanan sejak kekalahan 1-2 kepada Manchester City di Stadium Etihad, September lalu.

"Kami tahu ia bukan perlawanan yang mudah di sini, terutama dengan salji, tetapi kami tetap bertahan," kata Fekir kepada RMC Sport selepas aksi menentang Shakhtar.

"Kami melepaskan gol awal tetapi kami terus berjuang.

"Meskipun saya menyumbat gol, saya fikir keseluruhan pasukan ini bertindak berani dan bangkit dengan baik.

"Sudah sekian lama kami tidak layak ke pusingan kalah mati dan sekarang ini, kami akan menunggu keputusan undian pusingan 16. Saya harap kami akan dapat bertemu kelab yang bagus dan bermain dengan baik."

Shakhtar terpaksa berpuas hati untuk mengakhiri saingan di tempat ketiga kumpulan, sekali gus layak ke pusingan 32 Liga Europa.

Pengurus, Paulo Fonseca, menyifatkan keputusan seri itu didorong oleh sentuhan berbisa Fekir.

"Setelah mencetak gol, kami berada dalam kedudukan yang lebih baik tetapi kami gagal mempertahankan kelebihan itu," kata Fonseca. "Sudah tentu, ia juga merupakan hasil usaha gerakan individu Fekir. Dia menjaringkan gol yang menakjubkan.

"Saya berpendapat kami masih boleh memenangi perlawanan ini. Kami mengawal Lyon dengan baik, strategi membantu kami untuk membuka jaringan yang merupakan misi kami.

"Begitupun, segalanya musnah menerusi gerakan licik daripada Fekir. Ia gol yang licik dan kami sangat kecewa kerana kami sedar berpeluang untuk layak."