Ketua jurulatih sementara Selangor, Michael Feichtenbeiner, tidak menjangkakan bekas anak buahnya, Luqman Hakim Shamsudin, sebegitu awal dapat beraksi dengan skuad utama pasukan Liga Pro Belgium, KV Kortrijk.

Luqman Hakim mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama diturunkan beraksi dalam saingan divisyen utama liga di Eropah selepas dimasukkan pada minit ke-74 perlawanan menentang Anderlecht awal pagi tadi.

Biarpun pasukannya tewas 1-3, penyerang muda negara itu, yang hanya beraksi selama 16 minit, menjadi pencetus Kortrijk memperoleh sepakan penalti yang disempurnakan Ilombe Mboyo pada minit ke-86.

Bagi Feichtenbeiner, yang pernah mebimbing Luqman Hakim di pasukan Selangor II sebelum ini, penampilan itu merupakan pencapaian yang cukup baik untuk pemain kelahiran Kelantan itu mencipta nama di Belgium.

"Saya amat gembira untuknya. Saya amat terkejut apabila dia mendapat peluang ini dengan sebegitu awal," kata pengendali berbangsa Jerman itu kepada Astro Arena.

"Sudah pasti dia melakukan dengan baik dalam sesi latihan dan dalam beberapa perlawanan bersama skuad B-21 -- dia menjaringkan beberapa gol dalam perlawanan itu.

"Dia mendapat peluang beraksi dalam 16 minit terakhir bersama skuad senior, jadi ia merupakan satu langkah besar buatnya dalam bola sepak antarabangsa dan ia amat bagus buatnya.

"Tetapi ia juga membuktikan kepada pemain muda kita bahawa masih ada peluang sekiranya anda pergi (ke luar negara) dan mencuba yang terbaik.

"Ia merupakan petanda yang amat baik buat bola sepak di Malaysia," katanya.