Lucien Favre berkata Borussia Dortmund tidak boleh memberikan fokus hanya buat Neymar tatkala pemain termahal dunia itu bersedia untuk kembali memperkuatkan Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi esok.

Neymar diketepikan sejak 1 Februari lalu akibat kecederaan rusuk ketika menentang Montpellier tetapi dia dan pemain yang terlepas aksi ketika PSG diikat seri di Amiens, hujung minggu lalu, Kylian Mbappe, dinamakan dalam skuad yang berkunjung ke Dortmund bagi aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah.

Sejak menyertai juara Perancis itu pada 2017, bintang Brazil itu hanya melakukan satu penampilan buat PSG dalam pusingan kalah mati saingan elit Eropah tatkala kecederaan yang dialami mengakibatkan pasukannya dua penyingkiran dalam pusingan 16 terbaik.

Selain itu, dia hanya beraksi dua kali dalam saingan peringkat kumpulan tatkala skuad kendalian Thomas Tuchel itu muncul juara kumpulan dan mengatasi Real Madrid.

Bagaimanapun, pengendali Dortmund, Favre, tetap berwaspada dengan ancaman pemain PSG yang lain dalam aksi di Signal Iduna Park termasuk pemenang Piala Dunia, Mbappe, yang meledakkan tiga gol ketika berdepan kelab Jerman itu sewaktu mewakili AS Monaco dalam suku akhir pada musim 2016-17.

"Semua pemain PSG memiliki kualiti dan mereka menewaskan Real Madrid tanpa Neymar," katanya.

"Neymar sangat bagus tetapi kelibat Mbappe dan Angel Di Maria juga bahaya. Saya perlu melihat 10 pemain yang lain.

"Mereka bagus dalam perebutan bola di udara dan pantas menyerang. Mereka boleh memberikan 'counter-pressing' dan juga bersedia untuk membuat serangan balas."

Walau bagaimanapun, Dortmund juga memiliki kekuatan tersendiri, ditambah dengan kehadiran Erling Haaland, bulan lalu, yang telah menyumbat sembilan gol sejak ketibaannya dari Salzburg.

Penyerang Norway itu menghasilkan lapan gol buat Salzburg dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dan Favre yakin pemain berusia 19 tahun itu mampu meneruskan prestasi hebatnya berdepan PSG.

"Dia pantas menyesuaikan diri dan menunjukkan kekuatan serta lariannya," ujar Favre.

"Dia sentiasa mahu bertambah baik termasuk dalam sesi latihan. Dia mempunyai mentaliti hebat.

"Dia telah meraih laluan yang hebat di sini walaupun baru berusia 19 tahun. Keadaan di Dortmund berbeza berbanding Salzburg dan sudah tentu dia telah beraksi dalam Liga Juara-Juara serta menghasilkan gol. Saya harap dia boleh melakukan perkara yang sama bersama kami."


Editor: Nafis Abdullah