Pengurus Borussia Dortmund, Lucien Favre, mengulangi kesalahan yang dilakukan Pep Guardiola berkenaan pemilihan pasukannya, menurut legenda Bayern Munich, Lothar Matthaus.

Dortmund ketinggalan 13 mata di belakang Bayern dalam pemburuan Bundesliga musim lalu dan kekalahan 0-1 kepada pasukan bimbingan Hansi Flick itu terbukti memberi kesan besar kepada persaingan sengit untuk merebut gelaran berkenaan.

Jaringan Joshua Kimmich menjadi pemisah di Signal Iduna Park sekali gus membenarkan Bayern untuk melebarkan kelebihan tujuh mata di puncak.

Favre mengetepikan penyerang, Jadon Sancho, dan pemain tengah, Emre Can, di bangku simpanan dalam tempoh 45 pertama permainan ekoran masalah kecergasan, dan Matthaus percaya tindakan itu memberi impak yang cukup hebat kepada kempen mereka.

Selepas menyifatkan pengendali Manchester City, Guardiola, sebagai "seorang pengurus yang mempunyai ego tinggi" awal bulan ini, Matthaus kemudian beralih kepada Favre.

"Tidak menurunkan Sancho dan Emre Can dalam perlawanan getir seperti melawan Bayern menyumbang kepada kekalahan 0-1 Dortmund dalam pusingan kedua liga musim ini," katanya kepada Sport Bild.

"Ini mengingatkan saya mengenai kesilapan Pep Guardiola ketika menentang Lyon dalam Liga Juara-Juara (UCL) apabila dia meletakkan Kevin De Bruyne di sebelah kanan dan bukannya posisi biasa."



Dortmund menewaskan Duisburg 5-0 dalam pusingan pertama DFB-Pokal, awal pagi semalam, dan akan menentang Borussia Monchengladbach dalam perlawanan pembukaan Bundesliga 2020-21 hujung minggu ini.

Walaupun Dortmund mengekalkan sebahagian besar tonggak utama dalam jendela perpindahan kali ini, naib juara musim lalu itu turut berusaha memantapkan pasukan menerusi kehadiran muka baru seperti Jude Bellingham, Thomas Meunier dan Reinier, sehubungan itu Matthaus menganggap Bayern bakal berdepan laluan lebih berliku untuk mengekalkan kejuaraan.

"Dortmund akan muncul juara jika Bayern tidak berada dalam Bundesliga," katanya.

"Jika tidak, BVB memerlukan kekuatan di tahap 100 peratus sementara mengharapkan Bayern melakukan kesalahan. Tetapi musim lalu, Favre yang tersilap percaturan."