Lucien Favre menyaksikan banyak faktor untuk optimis dalam aksi Klassiker yang menakjubkan, tetapi kekalahan tetap melukakan Borussia Dortmund kepada musuh tradisi, Bayern Munich.

Dortmund jatuh ke tangga ketiga semalam, tiga mata di belakang Bayern selepas kemenangan 3-2 berpihak kepada juara bertahan di Signal Iduna Park.

BVB mendahului menerusi Marco Reus dalam separuh masa pertama namun dibolosi hasil jaringan penyamaan David Alaba, memberikan peluang buat Robert Lewandowski untuk merekodkan perlawanan ke-300 untuk Bayern dengan jaringan ke-259 -- yang ke-19 dalam 22 perlawanan berdepan bekas kelabnya -- selepas perlawanan bersambung dalam separuh masa kedua.

Lewandowski kemudian melakukan lorongan buat Leroy Sane untuk gol yang ketiga, sebelum Erling Haaland merapatkan kedudukan namun jaringan tersebut sekadar saguhati selepas Reus terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan.

Terdapat 29 percubaan secara keseluruhan, tidak termasuk dua gol Bayern yang tidak dibenarkan, dalam pertembungan antara dua gergasi Jerman itu.

"Ini adalah permainan yang baik secara keseluruhan, sangat bagus untuk penonton di TV.

"Kami mempunyai banyak, banyak peluang untuk menjaringkan gol - walaupun pada babak pertama. Secara keseluruhan, kita harus bersikap positif, kita melakukan pekerjaan dengan baik. Kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol, sungguh luar biasa.

"Tetapi kami dibolosi tiga gol dan kalah. Sukar untuk diterima."


Pertahanan tengah skuad kendalian Favre, Mats Hummels, percaya Dortmund berhak meraih lebih daripada kekalahan, namun berpandangan pasukannya kurang bernasib baik.

"Terdapat kurang ketenangan di depan gol," kata bekas pemain Bayern itu. "Apa yang anda boleh katakan?

"Ketiga-tiga gol Bayern hasil percubaan yang terbias. Kami tidak menguasai perlawanan, tetapi kami juga tidak bernasib baik. Ia merupakan perlawanan menyerang. Sayangnya, kami gagal melunaskan banyak peluang terhidang."