Ketua jurulatih Borussia Dortmund, Lucien Favre, mengakui bahawa tiada jaminan mengenai masa depan Jadon Sancho dan Achraf Hakimi bersama pasukannya.

Bekas pemain sayap Manchester City, Sancho, sudah sekian lama dikaitkan dengan kepulangan ke Liga Perdana Inggeris dan Manchester United dilaporkan sebagai antara pasukan yang berminat untuk mendapatkannya.

Masa depan Hakimi juga masih belum jelas memandangkan tempoh pinjamannya daripada Real Madrid akan tamat pada penghujung musim ini dan Dortmund masih belum bersetuju untuk menyambung khidmatnya.

Walaupun impak daripada pendemik koronavirus telah mendorong trend penurunan dalam pasaran pemain di Eropah, ia masih belum jelas sama ada Dortmund dapat mengekalkan Hakimi dan mempertahankan Sancho.

Favre bersedia dengan kemungkinan kehilangan dua pemain muda itu walaupun masih berharap agar mereka dapat kekal di Signal Iduna Park bagi musim 2020-21.

"Kami akan melihatnya selepas musim ini. Sudah pasti pemain akan pergi. Kami berharap pemain akan kekal tetapi ada kemungkinan mereka akan meninggalkan pasukan ini.

"Anda sudah menamakan dua (Hakimi dan Sancho) yang kami juga tidak pasti mengenainya.

"Sudah pasti mereka boleh kekal bersama kami, di mana ia sudah cukup baik buat saya.

"Tetapi kami akan melihat apa yang akan kami lakukan, sama ada di bahagian pertahanan, tengah atau serangan," katanya.