Pengurus Borussia Dortmund, Lucien Favre, memuji persembahan Erling Haaland selepas penyerang itu mencipta rekod baru dalam penampilannya di pentas Liga Juara-Juara Eropah.

Awal pagi tadi, Haaland mencipta sejarah dengan dua gol pantas dalam babak kedua bagi membolehkan Dortmund menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 2-1 dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.

Pemain berusia 19 tahun itu muncul pemain terpantas meledakkan 10 gol dalam sejarah Liga Juara-Juara selepas melakukannya dalam tujuh perlawanan.

Haaland memecahkan rekod dalam penampilan sulung Liga Juara-Juara bersama Dortmund dan Favre memuji penggempur Norway yang datang dari Salzburg itu, bulan lalu.

"Dia bertahan dengan baik bersama pemain lain," katanya.

"Dia turut mencipta kombinasi hebat bersama rakan sepasukan. Ia membantu kami apabila dia turut bertahan. Dia melakukannya dengan baik.

"Jika kami berpeluang untuk menggabungkannya, kami akan lakukan. Dia melakukan segalanya dengan baik termasuk mengawal bola serta mendapatkan penguasaan.

"Sebelum kedudukan 2-1, ada hantaran hebat daripada Giovanni Reyna. Bola itu sangat bagus tetapi ia tampak sempurna kerana Haaland di posisi terbaik."


Berdasarkan rekod, Haaland -- yang berusia 19 tahun 212 hari -- kini muncul pemain kedua termuda dalam sejarah Liga Juara-Juara meraih 10 gol di belakang Kylian Mbappe (18 tahun 360 hari).

Dia yang menolak perpindahan ke gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United, kini telah meledakkan 11 gol dalam tujuh aksi pertama dalam semua kejohanan bersama Dortmund, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemain daripada Bundesliga.

Dia juga bergelar pemain pertama Dortmund yang menghasilkan gol dalam penampilan sulung Bundesliga, Liga Juara-Juara dan Piala Jerman.