Favre nafi sedia lepas jawatan 

Oleh Shaiful Shamsudin 28 Mei 2020 25
Favre nafi sedia lepas jawatan 

Lucien Favre menegaskan bahawa dia tidak akan mengundurkan diri sebagai pengurus Borussia Dortmund meskipun menempa kekalahan "Der Klassiker" kepada Bayern Munich yang tampaknya mampu mengakhiri harapan mereka merebut gelaran Bundesliga. 

Dortmund berpeluang merapatkan jurang kepada satu mata sahaja dengan pendahulu liga itu menerusi kemenangan di Signal Iduna Park semalam. 

Bagaimanapun, pasukan asuhannya itu terpaksa berhempas pulas selepas membuat permulaan yang garang apabila tumbang 0-1 hasil jaringan tunggal menakjubkan Joshua Kimmich.

Bekas pengurus Hertha Berlin, Borussia Monchengladbach dan Nice itu gagal memenangi sebarang gelaran sejak menjulang trofi Liga Super Switzerland pada 2006-07 sehingga mengundang kritikan di beberapa pihak atas kegagalan berterusannya.

Persepsi itu timbul selepas ulasannya sejurus tewas kepada Bayern apabila dia berkata kepada Sky Sport: "Ia telah diperkatakan di sini selama beberapa bulan ini. Saya tahu bagaimana untuk melakukannya. Saya akan membincangkannya dalam tempoh beberapa minggu lagi."

Komennya itu mencetuskan spekulasi bahawa eranya di Dortmund akan berakhir "dalam beberapa minggu lagi" -- setahun sebelum kontraknya berakhir -- tetapi dia mengatakan bahawa ia adalah salah faham. 


 



"Saya sama sekali tidak akan menyerah kalah," katanya kepada Bild malam tadi. 

"Kami semua kecewa, tetapi kata-kata saya dalam wawancara sejurus selepas perlawanan itu nampaknya telah disalah erti dalam pelbagai aspek.

"Saya mahu mengatakan bahawa ini bukan masanya untuk membuat penilaian terhadap musim ini.

"Mengapa? Ini kerana di Paderborn Ahad ini, kami sekali lagi harus menjelmakan prestasi terbaik. Kami perlu memberikan fokus kepada itu, tidak yang lain."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen