AUGSBURG 3 DORTMUND 5

Lucien Favre kagum dengan persembahan Erling Haaland selepas penyerang itu hadir daripada bangku simpanan dan menjaringkan hatrik ketika berdepan Augsburg dalam penampilan sulungnya bersama Borussia Dortmund.


Diinspirasikan oleh Haaland, Dortmund bangkit daripada ketinggalan 1-3 untuk merekodkan kemenangan 5-3 di tempat lawan semalam.

Pemain kebangsaan Norway itu menggantikan Lukasz Piszczek selepas 56 minit dan menjaringkan gol menerusi sentuhan pertamanya 183 saat kemudian menerusi rembatan mengatasi penjaga gol, Tomas Koubek.

Haaland berjaya meledak dua gol lagi untuk melengkapkan hatrik sementara trio Jadon Sancho, Thorgan Hazard dan Marco Reus membuktikan kecemerlangan mereka menerusi bantuan jaringan yang dilakukan sepanjang permainan.

Pemain berusia 19 tahun itu menyertai BVB dengan yuran perpindahan EURO20 juta (RM89 juta) daripada Salzburg selepas bersaing dengan Manchester United dan sebilangan besar kelab ternama Eropah.

Favre menyedari beliau memiliki seorang pemain yang mempunyai prospek besar tetapi tidak percaya di sebalik persembahan Haaland, terutama sekali waktu latihan yang terhad ekoran kecederaan menjelang penampilannya selaku pemain gantian.

"Dia telah bermula dengan baik," kata pengendali Dortmund, Favre. "Dia segera membuktikan kemampuannya menerusi larian serta tiga gol yang dijaringkan.

"Pergerakannya membenarkan kami memiliki satu lagi pilihan ketika menyerang. Dia sangat bagus dan melakukan tugas dengan cemerlang dalam perlawanan ini.

"Pada usia 19 tahun, dia seorang pemain yang berpotensi untuk berkembang dengan lebih baik, itu perkara paling penting.

Dortmund akan berdepan Cologne, Jumaat ini dan Favre telah ditanya sama ada akan menurunkan Haaland dalam kesebelasan utama ataupun sebaliknya.

"Pemain-pemain sentiasa bersedia untuk beraksi tetapi Haaland tidak berlatih sepanjang bulan lalu kerana kecederaan lutut dan tidak dapat banyak melakukan apa-apa dalam kem latihan selama tiga atau empat hari.

"Dia masih belum bersedia untuk turun beraksi selama 90 minit. Kami akan lihat untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Kapten Dortmund, Reus, turut gembira di atas tanda-tanda awal yang positif menerusi persembahan Haaland.

"Haaland seorang pemain yang tenang tetapi memiliki keazaman yang tinggi," katanya.

"Dia berlatih dengan gigih. Saya berasakan pemain terakhir melakukan penampilan sulung di Augsburg adalah Pierre-Emerick Aubameyang dan dia juga menjaringkan tiga gol.

"Dia telah melakukan permulaan yang cemerlang."



Editor: Ammar Hakim