Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais, optimis Sarawak akan kekal bersaing dalam Liga Malaysia musim depan.

Menurutnya, keputusan rayuan akan diketahui hari ini kerana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini tidak mahu mengganggu pasukan-pasukan yang beraksi dalam perlawanan terakhir mereka pada Sabtu lalu, waktu panel rayuan itu bersidang.

"Kami telah memenuhi segala syarat dan dokumen yang diperlukan. Dan saya yakin, tidak akan timbul masalah lain.

"Perlu sedikit pertimbangan dan budi bicara atas komitmen kami ini," katanya ketika ditemui semalam.

Sarawak sebelum ini berdepan penyingkiran daripada Liga Malaysia apabila gagal dalam permohonan lesen pertandingan, yang diperkenalkan oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) untuk aksi musim depan.

Selain Sarawak, empat pasukan lain dalam Liga Super yang berhadapan masalah untuk mendapatkan lesen ialah Felda United, Kedah, Melaka United dan Kelantan.

Isu yang menyelimuti pasukan Sarawak sebelum ini adalah dokumen berkaitan laporan kewangan sejak 2012 yang perlu disahkan audit selain tunggakan pembayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso.

Bagaimanapun, kesemua dokumen tersebut, termasuk laporan kewangan yang berkait dengan FAS FMG Sdn Bhd telah pun dihantar kepada pihak FMLLP.