"Saya sentiasa bersedia," kata penjaga gol skuad negara, Farizal Marlias, sebagai wira tidak didendang selepas menewaskan Indonesia 2-0 dalam pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Penjaga gol veteran itu dibawa masuk pada minit ke-21 untuk menggantikan Khairulazhan Khalid yang mengalami kecederaan.

Selain beberapa kali bertindak tangkas menyelamatkan gawang negara, pemain berusia 33 tahun itu turut menggagalkan sepakan penalti Osas Saha pada lewat permainan.

Bagi Farizal, dia sudah bersedia untuk menghadapi sebarang situasi memandangkan apa-apa sahaja boleh terjadi dalam setiap perlawanan.

"Saya harus bersedia dalam setiap aspek kerana apa-apa sahaja boleh berlaku kepada penjaga gol yang lain.

"Saya hanya mahu memberikan yang terbaik dan bersedia secara fizikal dan mental.

"Apabila dimasukkan, saya harus menjalankan tugas dengan baik.

"Tiada apa-apa yang istimewa, saya hanya mencuba yang terbaik," katanya.

Mengenai sepakan penalti yang diselamatkannya itu, Farizal menambah: "Dalam fikiran saya hanya untuk menyelamatkan sepakan itu, itu sahaja.

"Alhamdulillah, saya berjaya dan bersyukur dengan prestasi kami sepasukan.

"Komitmen setiap pemain amat baik. Ia luar biasa," tambahnya.