FAM umum masuk percuma untuk aksi Malaysia-Papua New Guinea

Oleh Staff Writer 8 November 2016 3
FAM umum masuk percuma untuk aksi Malaysia-Papua New Guinea
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan tiada tiket akan dikenakan kepada penyokong untuk hadir menyaksikan perlawanan persahabatan antarabangsa di antara Malaysia dan Papua New Guinea di Stadium Shah Alam, jam 3.00 petang, Isnin ini.
 
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat sebagai menghargai sokongan penyokong skuad Harimau Malaysia yang tetap hadir ke stadium setiap kali perlawanan membabitkan skuad kebangsaan sepanjang 2016 biarpun dikenakan bayaran tiket sebelum ini.
 
“Mengikut ketetapan, tiket bagi perlawanan persahabatan antarabangsa 'A' membabitkan skuad kebangsaan adalah berharga RM30 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.
 
“Tapi sebagai penghargaan kepada penyokong untuk tahun 2016 dan pada masa sama perlawanan menentang Papua New Guinea ini juga adalah perlawanan terakhir Harimau Malaysia sebelum saingan Piala AFF Suzuki 2016, FAM telah bersetuju untuk penyokong masuk percuma ke perlawanan pada Isnin ini,” katanya.
 
Perlawanan menentang Papua New Guinea, Isnin ini adalah perlawanan kelima di laman sendiri buat Harimau Malaysia bagi 2016.

Ia selepas aksi persahabatan bertemu Macau di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 28 Mac, dua aksi play-off Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Timor-Leste di Stadium Tan Sri i Hassan Yunos, Larkin pada 2 dan 6 Jun serta aksi persahabatan bertemu Afghanistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober lalu.
 
Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, berharap penyokong dapat menggunakan peluang masuk percuma ini dengan sebaik-baiknya untuk mereka sama-sama membanjiri stadium memandangkan ia aksi terakhir Harimau Malaysia sebelum berlepas ke Yangon, Myanmar 16 November ini bagi memulakan kempen Piala AFF Suzuki.
 
“Sudah tentu sebagai jurulatih, saya mahu melihat stadium kita dibanjiri penyokong setiap kali kita beraksi di gelanggang sendiri kerana ia secara tidak langsung akan memberi semangat tambahan kepada pemain bagi mereka memperagakan aksi terbaik dalam perlawanan berkenaan.
 
“Lagipun, ini merupakan pentas terakhir sebelum saya menamakan senarai akhir 23 pemain ke Piala AFF Suzuki. Jadi, dengan kemasukan percuma ini, saya harap lebih ramai penyokong akan dapat sama-sama hadir ke Stadium Shah Alam, Isnin ini bagi memberikan sokongan,” kata Kim Swee.
 
Sepak mula perlawanan menentang Papua New Guinea ini ditetapkan jam 3.00 petang bagi membolehkan Harimau Malaysia menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca panas, memandangkan dua perlawanan awal Kumpulan B, Piala AFF Suzuki bertemu Kemboja (20 November) dan Vietnam (23 November) di Yangon akan berlangsung jam 3.00 petang.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen