Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih menanti keputusan ujian sampel B penjaga gol skuad B-23 negara, Ahmad Syihan Hazmi, daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perubatan FAM, Datuk Abdul Ghani Hassan, keputusan sampel B Syihan dijangka diperoleh minggu ini.

Syihan sebelum ini gagal ujian doping yang dilakukan di Changsu ketika Kejohanan AFC B-23, bulan lalu dan penjaga gol Negeri Sembilan itu disahkan positif bahan jenis metabolite methandienone.

"Pihak FAM masih menunggu keputusan sampel B daripada pihak AFC dan apa yang saya tahu, perkara ini adalah di bawah bidang kuasa AFC, termasuk hukuman yang akan dikenakan terhadap Syihan," kata Abdul Ghani.

AFC sebelum ini sudah pun memaklumkan kepada FAM menerusi jawatankuasa tatatertib dan etikanya bahawa Syihan melanggar Artikel 6, Peraturan Anti-doping AFC.

Pemain berasal dari Kelantan itu juga dikenakan penggantungan sementara selama 60 hari daripada sebarang aktiviti bola sepak, termasuk aksi domestik, perlawanan persahabatan mahupun rasmi.