FAM tumpu kepada inisiatif pembentukan akar umbi

Oleh Penulis Jemputan 16 Oktober 2018 292
FAM tumpu kepada inisiatif pembentukan akar umbi
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menumpukan kepada inisiatif akar umbi berbeza ketika tanggungjawab mengendalikan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) akan diserahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Jawatankuasa Pemantau NFDP mencadangkan program itu diletakkan di bawah Bahagian Pengurusan Atlet MSN, semalam.

FAM pula akan menawarkan kepakaran teknikal mereka bagi memastikan perbelanjaan besar tidak lagi berakhir dengan kekecewaan.

"Ini bukan bermakna FAM tidak terlibat dengan NFDP. FAM tetap terlibat selaku jawatankuasa pemantau dan gerak kerja program tersebut.

"Kami masih menunggu keputusan muktamad daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Selepas itu barulah kami dapat kenal pasti peranan FAM dalam program itu," jelas Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Dalam masa yang sama, FAM di bawah peruntukan program Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) juga memiliki program berbentuk akar umbi membabitkan kejurulatihan yang bakal dilaksanakan kelak.

"Daripada segi akar umbi, FAM sudah menghantar permohonan kepada AFC. Pembangunan tersebut akan dikendalikan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan AFC. 

"Dalam aspek kejurulatihan, kami akan mengikut sukatan pelajaran baru yang ditetapkan AFC bagi proses pelesenan kejurulatihan. Ini kerana, sebelum ini FAM masih menggunakan sukatan pelajaran yang lama.

"Kami sudah memohon perkara tersebut dan panduan akan dikeluarkan AFC kepada kami," tambah Ramalingam.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen