Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak puas hati dan mahukan perbincangan menyeluruh merujuk kepada prestasi Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang menguruskan perjalanan Liga Malaysia tahun ini.

Merujuk kepada isu yang menyelubungi perjalanan Liga Malaysia musim ini, FAM mengakui ada perkara yang dilakukan FMLLP gagal menggembirakan badan induk itu.

FAM mahu perbincangan dilakukan bagi memperhalusi beberapa pembaharuan yang cuba dibawa FMLLP.

"Kami akan membincangkan dari aspek adakah perlu diteruskan Piala Malaysia yang akan berjalan serentak dengan Liga Super seperti sebelum ini.

"Seterusnya membincangkan aspek penjadualan sama ada Liga Super perlu dihabiskan sama dengan Piala Malaysia," jelas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah.

Ditanya berkenaan MP & Silva yang sudah menjanjikan pendapatan RM70 juta setahun, tiada jawapan bernas mampu diberikan oleh Timbalan Pesiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah mahupun Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin serta Timbalan Presiden FAM, Datuk Mokhtar Ahmad, selepas menghadiri mesyuarat exco FAM pada Isnin.

"Nampak seperti yang kita sasarkan cuma di hujung tahun nanti kami akan dapatkan laporan terkini.

"Antara lainnya, terbukti apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) layak ke Liga Juara-Juara Asia berdasarkan perlesenan kelab.

"Bagaimanapun, semua pihak perlu faham bahawa ini tahun pertama," tambahnya.