Selepas menerima sumbangan daripada pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, calon Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd Faiz Subri, terus dihargai.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan media hari ini, bersetuju menaja tiket pernerbangan isteri serta dua anak pemain Pulau Pinang itu untuk sama-sama menghadiri majlis gemilang yang bakal diadakan di Zurich, Switzerland, 9 Januari depan.

Ia sebagai penghargaan FAM kepada Faiz yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa menerusi pencalonan akhir Anugerah Puskas FIFA 2016.

Sebagai calon akhir, penerbangan Faiz ke Zurich ditaja sepenuhnya oleh FIFA, malah ia lebih bermakna apabila isteri, Norzawanis Hashim, serta dua anak mereka, Akif Fayyad, 4, dan Aqil Zayyan, 8 bulan, akan turut sama ke Zurich.

"Saya gembira kerana dapat pergi dengan isteri dan anak-anak. Saya merakamkan penghargaan kepada FAM kerana menaja ahli keluarga saya ke Zurich nanti. Terima kasih banyak-banyak.

"Saya harap orang ramai terus mengundi saya sehingga 9 Januari nanti. Insya-Allah anugerah itu akan pulang ke Malaysia," katanya.

Peminat boleh mengundi Faiz menerusi www.fifa.com, sebelum undian ditutup pada 9 Januari.

Majlis anugerah edisi kelapan itu juga akan menobatkan Pemain Terbaik Dunia FIFA 2016.