Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyasarkan penggunaan pengadil profesional dapat dilaksanakan dalam musim baru Liga Malaysia 2019 yang bermula Februari depan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, menjelaskan usaha itu masih di peringkat perbincangan di antara pihaknya dan badan pentadbir, Liga Bolasepak Malaysia (MFL)

Ia selaras dengan usaha MFL yang bakal membentuk syarikat pengurusan bebas buat pengadil profesional untuk menambah baik mutu pengadilan.

"Kami sedang berusaha ke arah status tersebut dan daripada segi siapa, kos serta pelaksanaan akan diubah daripada pengadil amatur kepada pro.

"Dalam segi industri dan sistem, pihak FAM sedang melihat bagaimana cara paling sesuai untuk melangkah ke depan," katanya selepas menyaksikan majlis memeterai tajaan pakaian serta peralatan oleh jenama sukan, Kronos, kepada pengadil yang terbabit dalam saingan Liga Malaysia 2019. Turut serta Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Asisten Komisioner Md Dali Wahid.

Turut diadakan majlis penyerahan sijil kepada 58 pengadil yang melepasi ujian kecergasan kendalian FAM.

Md Dali turut menjelaskan dia percaya barisan pengadil mampu melaksanakan tugas dengan lebih baik dan berkesan pada musim 2019 nanti.

"Kami perlu meneliti segala kelemahan yang ada dan mengurangkan kesilapan menjelang 2019. Saya rasa adalah satu cabaran untuk pengadil di Malaysia. Saya tidak mengatakan pengadil Malaysia terlalu rendah taraf," ujarnya.