Semua pasukan negeri yang terikat dengan syarat pelesenan kelab dijangka perlu membentuk pasukan B-17 tahun berikutan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah merancang untuk menganjurkan Liga Remaja Kebangsaan mulai tahun depan.

Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Datuk Richard Scully, mendedahkan perkara itu dalam proses perbincangan akhir untuk direalisasikan.

Selepas saingan Piala Presiden peringkat B-21 serta Piala Belia untuk pemain-pemain B-19, Richard melihat ia satu keperluan bagi peringkat B-17 ke bawah bagi pembangunan akar umbi.

Malah, ia termaktub dalam salah satu syarat pelesenan di bawah kriteria pembangunan, perkara 7.2 yang mana setiap pasukan wajib membentuk pasukan bawah umur, termasuk B-17.

Buat masa ini, hanya dua pasukan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Felda United sudah memiliki pasukan B-17 dalam saingan Liga Malaysia.

"Perkara ini berada dalam pelan perancangan FAM dalam usaha untuk menganjurkan saingan Liga Kebangsaan B-17. Setiap pasukan wajib memiliki skuad B-19 dan B-17 bagi membantu akar umbi pembangunan bola sepak negara," kata Richard.

Pembentukan Liga Remaja Kebangsaan itu dijangka mampu membantu FAM melaksanakan misi bersama Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan salah satu asas merealisasikan peta hala tuju atau Roadmap FAM, F:30.

"Berdasarkan F:30, saingan liga bagi peringkat B-17 dianggap sebagai penambah nilai dan langkah untuk mencapai sasaran utama yang telah ditetapkan," katanya lagi.