FAM nafi Harimau Malaya tarik diri kelayakan Piala Dunia, Piala AFF 

Oleh Shaiful Shamsudin 17 November 2020 746
 FAM nafi Harimau Malaya tarik diri kelayakan Piala Dunia, Piala AFF 
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan laporan di laman sosial yang mengaitkan pasukan kebangsaan akan menarik diri daripada saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selain Piala AFF 2020. 

Semalam, laman sesawang cambodiafootballnews memetik laporan daripada smmsport bahawa Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, mengakui Harimau Malaya mempertimbangkan untuk menarik diri daripada kejohanan utama sekiranya COVID-19 terus merebak. 

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menyasarkan untuk menamatkan pusingan kelayakan Piala Dunia sekitar Jun 2021 sementara Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) menetapkan kejohanan serantau, Piala AFF, akan diadakan pada tarikh baru iaitu pada Ramadan -- April hingga Mei depan. 

Kegagalan Johor Darul Ta'zim (JDT) mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melanjutkan kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Qatar juga mendorong berita itu tersebar.

"Laporan ini adalah tidak benar. Kami di FAM tidak mempunyai rancangan untuk menarik diri daripada mana-mana pertandingan yang dinyatakan itu," jelas Stuart menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media tempatan sebentar tadi.

Kempen Liga Malaysia musim ini berakhir minggu lalu susulan pembatalan Piala Malaysia walaupun pusingan pertama baru tamat selain jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, turut tidak mempunyai kesempatan untuk mengadakan latihan pusat sejak COVID-19 melanda. 

 

Football Association of Malaysia plan to withdraw from FIFA World Cup Qatar 2022 & AFF Suzuki Cup #CambodiaFootballNews #FootballCambodia #AseanFootballNews

Posted by ASEAN Football News on Sunday, November 15, 2020
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen