Pengumuman melibatkan penubuhan skuad belia negara yang dikhabarkan akan beraksi dalam Liga Perdana 2021 terpaksa ditangguhkan selepas kedua-dua pemegang taruh, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN), perlu memperincikan terlebih dahulu cadangan itu.

Bagaimanapun, ada perkhabaran positif apabila Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, mendedahkan satu pengumuman rasmi akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Percaturan bagi musim depan secara dasarnya telah dibincangkan dalam memastikan kami selari dengan segala perancangan dan bajet semusim untuk kedua-dua agensi ini -- FAM dan MSN," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom, ketika ditemui di Wisma FAM hari ini.

"Perbincangan selanjutnya mungkin masih terlalu awal untuk saya sahkan disebabkan masih belum ada sebarang keputusan yang ditetapkan.

"Dalam masa dua minggu ini, saya rasa kami sudah boleh menetapkan segala aktiviti dan carta pengurusan FAM dan MSN," katanya.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, memilih pendekatan berahsia dalam menjawab persoalan mengenai usaha sama itu.

"Ia lebih kepada perbincangan biasa. Tentang program itu, kami masih belum membuat sebarang keputusan, jadi ia masih di peringkat perbincangan.

"Ia hanya perbincangan secara keseluruhan dan masih belum ada sebarang keputusan," katanya.

Difahamkan pasukan yang akan ditubuhkan itu akan terdiri daripada graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), yang akan dileletakkan di bawah satu program persis seperti Harimau Muda sebelum ini dan akan bersaing dalam Liga Perdana 2021.