Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, masih mempertimbangkan kesediaan Palestin untuk aksi persahabatan menentang skuad negara yang akan berlangsung di Gaza, 21 Mac depan.

Atas faktor keselamatan, kesanggupan Palestin untuk melayan kunjungan skuad senior negara di Gaza bukan berita gembira.

Malah, FAM masih menunggu jawapan daripada lima negara lain di Timur Tengah sebagai persediaan skuad Tan Cheng Hoe itu sebelum bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 26 Mac depan.

"Hanya Palestin memberikan maklum balas kepada kami, namun FAM akan menilai terlebih dahulu bagi memilih aksi pemanas badan skuad negara sebelum berdepan UAE," katanya.

Selepas mempamerkan aksi memberangsangkan, harapan tinggi diletakkan kepada skuad senior negara untuk memenuhi tuntutan sasaran F30 yang dilancarkan awal tahun lalu.

Kunjungan ke UAE membawa hasrat besar bagi mengutip sekurang-kurangnya satu mata selain aksi dengan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, dengan skuad negara hanya diberi pilihan untuk merealisasikan hasrat tiga mata penuh.

"Kami mempunyai peluang terbaik dan enggan melepaskannya dan berharap untuk melepasi sasaran," kata Yusoff lagi.