Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyasarkan trio pengadil ke Piala Dunia 2026 menerusi pelancaran Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) tatkala enam wakil kebangsaan sudah disenarai pendek untuk menjadi perintis projek berkenaan.

MProRS sebagai projek pengadil profesional menjadi taruhan baru FAM untuk menjadikan wakil dari Malaysia sebagai mercu tanda pengadilan Asia.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata dengan mengutamakan budaya pengadil profesional dan konsisten dalam setiap perlawanan, MProRS menawarkan bimbingan terperinci kepada mereka yang terpilih menjelang Piala Dunia 2026.

"Pemilihan ini telah bermula sejak tahun lalu untuk kami kenal pasti. Inilah masa untuk kami umumkan dan insya-Allah, Julai depan kami akan menamakan dua pengadil profesional," katanya.

Subkhiddin Salleh muncul pengadil terakhir negara yang bertugas dalam saingan tertinggi itu di Afrika Selatan, sedekad lalu.

Bagaimanapun, kemunculan MProRS menimbulkan persoalan mengenai status penubuhan badan bebas pengadil yang dikenali sebagai Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM) yang sebelum ini mahu diwujudkan bersama di antara FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Apabila keadaan sesuai, kami akan pastikan PMOM itu wujud tetapi kami tidak pasti bila. Namun, kami perlu bergerak dari sekarang. Satu hari nanti, akan wujud PMOM, di mana badan lain yang bertindak, sama seperti MFL," tambah Hamidin.