Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus diasak pelbagai soalan berikutan isu pemotongan mata melibatkan empat pasukan di mana rata-rata menganggap badan induk itu gagal berlaku adil kepada ahli gabungan sendiri.

Isu bantahan PDRM terhadap Johor Darul Ta'zim dianggap selesai selepas bantahan tersebut ditarik balik.

Namun, status terbaru itu nampaknya gagal memuaskan hati media yang hadir ke sidang media FAM hari ini di mana mereka menuntut penjelasan lebih terperinci merujuk kepada bantahan terdahulu melibatkan Pahang dan Kedah.

Soalan bertalu-talu membuatkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Affandi Hamzah terdiam, dan reaksi yang sama juga dapat dilihat daripada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan seorang lagi Timbalan Presiden FAM, Datuk Mokhtar Ahmad.

"Berdasarkan maklumat yang kami dapat daripada pengerusi ialah kes ini telah dianggap selesai. Itulah makluman yang kami terima," jelasnya.

Pertikaian membabitkan isu itu, bagaimanapun, tiada jawapan pasti dari badan induk itu sendiri.

Bagaimanapun, mereka bersetuju beberapa undang-undang perlu dirujuk semula ekoran timbul kekeliruan membabitkan semua pihak.