Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menzahirkan ucapan tahniah kepada Mohd Faiz Subri dan berharap jaringan 'magis' pemain Pulau Pinang itu bakal muncul selaku pemenang bagi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Zurich, Switzerland, 9 Januari depan.

"Kami menjangkakan jaringan Faiz merupakan salah satu yang terbaik dan kerana itu kami menghantar rakaman video tersebut kepada FIFA untuk dicalonkan.

"FAM mengucapkan tahniah kepada Faiz dan juga Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang. Kami berharap jaringan Faiz akan muncul juara," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Faiz mencetuskan sensasi apabila jaringan yang dilakukannya pada 16 Februari lalu berjaya tersenarai dalam tiga calon akhir untuk merebut anugerah berprestij itu.

Lebih menarik, Faiz mengetepikan dua pencabar bertaraf bintang dunia, Lionel Messi dan Neymar, dalam kalangan 10 calon akhir.

Kini, dua pencabar perlu dihadapi Faiz di Zurich, iaitu pemain dari Brazil, Marlone dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela, yang turut terpilih dalam pengundian peringkat kedua.

"Daripada tiga pencalonan tersebut, mungkin jaringan Faiz mempunyai kelebihan kerana situasi bola yang dijaringkan oleh Faiz dalam keadaan sepakan percuma.

"Berbanding dengan dua calon tersebut, mereka menjaringkan bola ketika situasi permainan terbuka untuk mendapatkan gol. Saya berasa ada kelebihan buat Faiz," ujar pemerhati bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri.

Turut berkongsi pandangan mengenai peluang Faiz untuk muncul juara adalah pemerhati bola sepak tempatan dan bekas pemain bola sepak negara, Hasnizam Uzir serta Shahril Arsat.

Mereka berpandangan jaringan yang dilakukan Faiz adalah sesuatu yang di luar jangkaan dan peluang Faiz untuk muncul juara adalah cerah.

"Faiz mampu untuk muncul juara dan mampu untuk mengharumkan nama Malaysia. Ia berdasarkan apa yang saya lihat iaitu dari sudut teknik, kualiti dan juga kesukaran untuk menjaringkan gol," jelas Hasnizam.

"Sepakan percuma bukan mudah untuk diambil kerana ia terletak pada satu keadaan bola mati dan pemain memerlukan fokus yang tinggi untuk menjaringkan gol.

"Apa yang telah dilakukan oleh Faiz semenangnya di luar jangkaan," tambah Shahril pula.