FAM hantar dua pengadil kendali aksi di Jepun

Oleh Bernama 31 Oktober 2019 417
FAM hantar dua pengadil kendali aksi di Jepun
Kualiti yang dimiliki pengadil tempatan terus mendapat perhatian negara luar apabila dua pengadil Malaysia dipilih Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mengendalikan dua aksi persahabatan membabitkan pasukan kebangsaan Jepun dan skuad B-22 negara berkenaan, bulan depan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, dalam satu kenyataan memaklumkan badan induk itu telah memilih Mohd Amirul Izwan Yaacob sebagai pengadil bagi perlawanan antarabangsa tier satu di antara Jepun dan Venezuela di Stadium Panasonic Suita, Osaka, 19 November ini.

Stuart turut menjelaskan Mohd Amirul Izwan juga dipilih sebagai pegawai keempat bagi aksi persahabatan antarabangsa tier dua membabitkan skuad B-22 Jepun berdepan Colombia di Stadium EDION Hiroshima, 17 November ini.

"Mohd Yusri Muhamad pula akan bertindak sebagai penolong pengadil bagi kedua-dua perlawanan berkenaan, yang merupakan sebahagian daripada Piala Cabaran Kirin 2019," ujarnya.

Stuart memaklumkan pemilihan pengadil berkenaan diputuskan selepas Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) menghantar jemputan kepada FAM untuk mengendalikan perlawanan membabitkan skuad Samurai Biru itu.
 
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini telah memilih Mohd Amirul Izwan dan Mohd Yusri, masing-masing sebagai pengadil dan penolong pengadil satu, bagi mengendalikan aksi Kumpulan B, Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Kuwait dan Taiwan di Stadium Jaber al-Ahmad, Kuwait, 14 November ini.

Dua lagi pegawai dari Malaysia, iaitu Mohamad Mu'azi Zainal Abidin dan Razlan Joffri Ali pula dipilih FIFA, masing-masing sebagai penolong pengadil dua dan pegawai keempat untuk perlawanan di Kuwait.

Empat lagi pengadil dari Malaysia, terdiri daripada Muhammad Nazmi Nasaruddin (pengadil), Mohamad Zairul Khalil Tan (penolong pengadil satu), Mohd Arif Shamil Abd Rasid (penolong pengadil dua,) dan Suhaizi Shukri (pegawai keempat) dilantik FIFA untuk mengendalikan aksi Kumpulan F, Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di antara Myanmar dan Mongolia di Stadium Mandalar Thiri, Mandalay, Myanmar, 19 November ini.

"FAM berharap pegawai-pegawai yang terpilih ini dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dan terus konsisten dalam tugasan yang diberikan itu, sekali gus ilmu dan manfaat daripadanya dapat digunakan untuk membantu pembangunan pengadil-pengadil di Malaysia," tambah Stuart.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen