FAM enggan panjangkan isu libatkan KPM 

Oleh Penulis Jemputan 13 Oktober 2018 398
FAM enggan panjangkan isu libatkan KPM 
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, akur dengan ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) walaupun menegaskan urusan pemberitahuan dari awal lagi sudah pun dilakukan dengan melibatkan semua pihak.

Ada pihak menganggap FAM lepas tangan dalam isu ini, namun tegas Stuart, beliau sudah pun mengorak langkah awal untuk mendapatkan pelepasan pemain, terutama yang terlibat dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Firdaus Imran Mohd Fadhil.

Surat kepada persatuan bola sepak negeri dan sekolah sukan juga telah dimaklumkan awal oleh FAM, begitupun isu yang sama tahun lalu yang melibatkan tiga pemain tetap berulang. 

"Kami tidak boleh mengabaikan soal pendidikan pemain.

"Kami serahkan keputusan itu kepada KPM, tiada notis yang mengatakan KPM wajib melepaskan pemain," kata Stuart. 

Wujud percanggahan apabila Timbalan Pengarah Bahagian Sukan KPM, Zainal Abas, melihat FAM tidak serius untuk mendapatkan khidmat Firdaus dengan hanya menghantar surat permohonan pelepasan kepada pihak persatuan negeri dan tidak melibatkan sekolah sukan.

"Kami sudah pun menghantar surat permohonan kepada semua pihak, termasuk sekolah sukan, sebab itulah mereka mengeluarkan jawapan," tambahnya. 

Tidak mahu isu itu diperbesarkan, FAM dan pihak kejurulatihan skuad B-19 telah memanggil penjaga gol skuad Piala Belia Perak, Syakir Danial Maamal Hajri, yang kini sudah pun memulakan latihan bersama skuad Bojan Hodak itu.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen