FAM enggan dedah faktor Wan Kuzain digugurkan

Oleh Staff Writer 23 November 2019 3041
FAM enggan dedah faktor Wan Kuzain digugurkan
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, mengambil pendekatan berahsia mengenai faktor sebenar Wan Kuzain Wan Kamal digugurkan daripada skuad ke Sukan SEA Filipina.

Sebaliknya, beliau menegaskan faktor kekangan masa menjadi penghalang kepada hasrat pemain itu untuk mewakili negara.

Impian peminat bola sepak tanah air untuk menyaksikan Wan Kuzain mewakili negara dalam Sukan SEA bermula Isnin ini tidak kesampaian disebabkan masalah dokumentasi yang tidak dapat diselesaikan sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain.

Difahamkan, Wan Kuzain enggan melepaskan kerakyatan Amerika Syarikat kerana masih mahu beraksi dalam Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) sebagai pemain tempatan.

"Dalam kerjaya bola sepak, seseorang individu perlu memilih (kerakyatan).

"Dan dia bukannya tidak bermain, dia bermain di Amerika Syarikat.

"Dengan itu, sistem yang kami ada memerlukan lebih masa untuk menyelaraskan apa yang diperlukan oleh Wan Kuzain untuk meneruskan kariernya.

"Pasukan sudah berlepas (ke Filipina) semalam.

"Mungkin kalau ada lebih masa, kami boleh menyelesaikannya," kata Stuart.

Dalam perkembangan lain, FAM masih mahu meneruskan usaha menjadikan Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi sebagai pemain naturalisasi walaupun skuad kebangsaan menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini.

"Kalau ada tiga, empat (pemain naturalisasi), mungkin prestasi skuad negara akan bertambah baik," kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

"Dalam masa sama, persaingan buat pemain tempatan untuk mewakili negara juga akan bertambah sengit."

Sementara itu, Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM hari ini memutuskan untuk mewujudkan liga negeri B-21 dan B-19.

Di bawah kelolaan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, liga berkenaan diperkenalkan untuk memperkasakan sistem pembangunan bola sepak negara.

"Peluang terbuka luas untuk anak-anak yang berusia 19 hingga 21 tahun untuk bermain dalam liga tersendiri. 

"Ia akan menjadi sokongan buat pasukan Piala Belia dan Piala Presiden.

"Akan muncul lebih banyak pemain untuk dipilih berdasarkan liga negeri itu sendiri," tambah Yusoff.

Mesyuarat itu juga mencapai kata sepakat untuk mengubah format pertandingan Piala Belia dan Piala Presiden bermula musim depan menerusi Liga Utara dan Liga Selatan bagi mengurangkan kos perbelanjaan setiap pasukan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen