Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dikenakan denda sebanyak RM47,500 manakala Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) didenda RM30,000 selepas insiden kekecohan yang berlaku dalam perlawanan Liga Super 2016 di antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak, 6 Ogos lalu.

Jawatankuasa Tatatertib, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat semalam, mendapati kedua-dua pihak bersalah kerana melanggar Kod Tatatertib FAM 2015 membabitkan penyokong masing-masing.

Menurut butiran dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web FAM hari ini, PAFA didenda sebanyak RM10,000 di atas kesalahan pertama, iaitu tindakan penyokong Perak yang membaling botol minuman ke arah penyokong JDT.

Bagi kesalahan kedua di mana penganjuran perlawanan telah melibatkan kes kecederaan, PAFA dikenakan denda RM37,500 dan hukuman beraksi tanpa penonton dalam tiga perlawanan rasmi seterusnya di gelanggang sendiri (termasuk hukuman bermain satu perlawanan tanpa penonton seperti yang telah diputuskan pada 4 Mac 2016).

Sementara itu, PBNJ didapati bersalah dalam pertuduhan pertama dan didenda RM15,000 di atas tindakan penyokong JDT yang telah membaling botol minuman ke arah penyokong Perak, memusnahkan papan iklan dan mencederakan seorang jurugambar.

Dalam pertuduhan kedua, iaitu menyanyikan lagu yang menghina pasukan Perak, PBNJ didapati bersalah dan didenda sebanyak RM15,000.00.

PAFA dan PBNJ boleh membuat rayuan terhadap semua keputusan hukuman tersebut.

Kedua-dua pasukan turut diberi amaran keras dengan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM itu dipengerusikan oleh Datuk Kang Hwee Gee.